Lawatan Penanda Aras Institusi Swasta oleh Peserta NPQEL Ke Putra Medical Centre
Pada 21 Mei 2025, Putra Medical Centre (PMC) telah menerima lawatan istimewa daripada 46 orang peserta Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) Sesi 2025 yang dianjurkan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB), Cawangan Utara, di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kesemua peserta terdiri daripada barisan guru sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara yang sedang mengikuti latihan intensif untuk dilantik sebagai pengetua atau guru besar di institusi pendidikan masing-masing. Lawatan ini merupakan salah satu komponen penting dalam modul pembangunan kepimpinan profesional NPQEL, yang bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada amalan terbaik dalam tadbir urus serta kepimpinan strategik organisasi.
Lawatan penandaarasan ini diadakan bagi membolehkan para peserta memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang pengurusan dan operasi organisasi swasta. Dalam masa yang sama, ia juga memberi peluang untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman yang mampu memberi impak positif serta boleh disesuaikan dan diterapkan dalam konteks pengurusan sekolah. Matlamat utama lawatan ini adalah untuk membentuk pemimpin pendidikan yang bukan sahaja berprestasi tinggi, tetapi juga memiliki kemahiran komunikasi yang berkesan, berintegriti, dan berwawasan.
Sepanjang lawatan, para peserta telah disambut mesra oleh pihak pengurusan PMC. Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan serta pengenalan kepada sejarah dan latar belakang penubuhan pusat perubatan ini yang disampaikan oleh Pengarah Klinikal PMC, Dato’ Dr. Lim Tze Chou. Seterusnya, peserta telah diberikan pencerahan berkenaan pengurusan sumber manusia oleh Pengarah HR PMC yang menyentuh aspek pengurusan bakat, budaya kerja serta kepimpinan dalaman organisasi.
Sesi diteruskan dengan dua ceramah kesihatan yang sangat bermanfaat, iaitu ceramah bertajuk “Bolehkah Orang Muda Kena Serangan Jantung?” oleh Kol. (B) Dr. Mohamad Anuar Mohamad dan ceramah “The Importance of Health for Women Leaders” oleh Dr. Tan Yin Pin, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan. Para peserta turut diberikan pendedahan berkenaan kerjaya kejururawatan dan laluan profesional dalam bidang ini menerusi perkongsian menarik oleh Pengarah Kejururawatan, Mdm Punida Sathiveil.
Lawatan ini turut diserikan dengan sesi tinjauan sekitar fasiliti hospital, termasuk unit rawatan utama dan kawasan operasi, bagi memberi gambaran menyeluruh tentang sistem pengurusan dan pelaksanaan perkhidmatan kesihatan di sektor swasta. Melalui sesi ini, para peserta dapat menyaksikan sendiri bagaimana prinsip kecekapan, integriti dan inovasi diterapkan secara menyeluruh dalam pengurusan PMC—prinsip yang amat relevan untuk diaplikasikan dalam bidang pendidikan masa kini.
Putra Medical Centre merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Institut Aminuddin Baki atas kepercayaan dan pemilihan PMC sebagai lokasi penanda aras. Pihak kami berharap lawatan ini dapat membuka ruang kerjasama yang lebih meluas antara sektor kesihatan dan pendidikan dalam membentuk ekosistem kepimpinan yang holistik dan berdaya tahan di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, layari media sosial rasmi kami:
Untuk sebarang bantuan atau nasihat perubatan, sila hubungi Putra Medical Centre:
Hubungi: +604-734 2888 | +6011-1052 3600 | +6011-1052 3688
E-mel: pmc@putramedicentre.com.my
Laman Web: https://pmck.com.my
![]()
