TALIAN AM & AMBULANS

+604-734 2888
+6011-1052 3600
+6011-1052 3688

TALIAN KHIDMAT PELANGGAN

(8:30 am – 5:00 pm)

+6010-455 1125

KEMALANGAN & PERUBATAN KECEMASAN

999

BM  |  EN  |  华文

Memahami Halitosis dan Mengatasi Masalah Nafas Berbau

September 2025

Kekal Tenang. Tangani Masalah Bau Mulut.

Pernahkah anda mempunyai rakan atau ahli keluarga yang dengan sopan mencadangkan bahawa anda mungkin memerlukan gula-gula pudina? Atau mungkin anda menyedari bahawa perkara pertama yang anda lakukan setiap pagi ialah memberus gigi dan menyegarkan diri sebelum memulakan hari. Nafas berbau sekali-sekala, yang secara perubatan dikenali sebagai halitosis, merupakan keadaan biasa dalam kehidupan manusia dan lazimnya tidak perlu dirisaukan. Namun begitu, sekiranya ia berterusan, keadaan ini mungkin menandakan masalah kesihatan yang memerlukan perhatian. Dalam artikel ini, Dr. Adlin Farahani Binti Bahruddin, Doktor Gigi di Putra Medical Centre, berkongsi pandangan profesional beliau mengenai pemahaman terhadap punca nafas berbau serta langkah praktikal untuk menanganinya, bagi membantu anda mengekalkan keyakinan diri serta kesihatan mulut.

Sekiranya anda merasakan rasa pelik di dalam mulut, kemungkinan besar anda mengalami nafas berbau yang boleh dihidu oleh orang lain.

HALITOSIS: PENJELASAN TENTANG NAFAS BERBAU

Istilah klinikal bagi nafas berbau ialah ‘halitosis’. Terdapat pelbagai sebab berlakunya nafas berbau, namun tidak semuanya berpunca daripada faktor perubatan. Sebagai contoh, makanan yang mengandungi bawang putih, bawang merah, petai atau durian boleh meninggalkan bau kurang menyenangkan di dalam mulut selepas dimakan. Walau bagaimanapun, ada kalanya puncanya lebih serius daripada sekadar makanan yang berbau kuat. Jika berterusan, punca di sebalik gejala ini mungkin menandakan kebersihan mulut yang tidak terjaga termasuk mulut kering, gigi berlubang, masalah gusi, gigi bongsu yang tersumbat, refluks asid, atau keadaan lain seperti penyakit buah pinggang.

Hidu Sekilas dan Sahkan Untuk Kepastian

Anda tidak semestinya dapat mengetahui sama ada nafas anda cukup teruk hingga boleh membuat orang lain menjauh hanya dengan menutup hidung dan mulut dengan tangan lalu menghidu seketika. Tidak salah untuk meminta seseorang mengesahkannya agar lebih pasti. Secara umumnya, sekiranya anda merasakan rasa pelik atau kurang enak di dalam mulut, kemungkinan besar anda mengalami nafas berbau yang boleh dihidu oleh orang lain. Ini boleh dijadikan panduan asas untuk membantu menilai keadaan diri anda.

Mulakan Pemeriksaan Dengan Doktor Pergigian

Halitosis kronik ialah keadaan nafas berbau yang berterusan, dan kebiasaannya ia bukanlah masalah yang boleh diabaikan begitu sahaja dengan sekadar sebuah senyuman yang canggung. Walaupun masalah kesihatan mulut selalunya dapat diatasi dengan rutin penjagaan gigi harian yang lebih baik seperti memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida, menggunakan benang flos, serta ubat kumur tanpa alkohol, kadangkala penyelesaiannya memerlukan rawatan perubatan yang lebih mendalam. Mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pergigian merupakan langkah permulaan yang baik. Pemeriksaan awal mungkin mendedahkan keperluan rawatan yang lebih daripada sekadar penjagaan gigi dan gusi.

Berjumpa dengan doktor gigi untuk pemeriksaan gigi merupakan langkah permulaan yang baik sekiranya anda mengalami halitosis.

Jenis Bau Nafas Boleh Menjadi Isyarat Penting

Amaran ini bukanlah bertujuan untuk menakutkan anda, sebaliknya untuk memberi kesedaran tentang kemungkinan tertentu sekiranya anda telah lama menghadapi masalah nafas berbau tanpa mengetahui puncanya. Bau nafas boleh berbeza-beza, daripada masam hinggalah terlalu manis (seperti yang dialami pesakit diabetes). Walaupun diabetes boleh meningkatkan risiko penyakit gusi seperti periodontitis, kekurangan insulin boleh mencetuskan keadaan kecemasan perubatan yang dikenali sebagai ketoasidosis. Keadaan ini menyebabkan nafas berbau manis seperti buah, dikenali sebagai Acetone Breath, dan ia bukanlah petanda yang baik.

Keadaan Yang Boleh Menyebabkan Halitosis

Jangan abaikan masalah ini sekiranya ia berlarutan untuk tempoh yang lama dan orang di sekeliling anda mula menyedarinya serta menegur. Walaupun punca nafas berbau anda mungkin bukanlah sesuatu yang perlu menimbulkan panik atau kebimbangan serius, berjumpa dengan profesional perubatan adalah satu-satunya cara untuk menenangkan fikiran. Dalam sesetengah kes, pemeriksaan rutin atau saringan kesihatan boleh membawa kepada diagnosis yang penting. Terdapat beberapa penyakit yang boleh menyebabkan nafas berbau, antaranya penyakit telinga, hidung dan tekak; batu tonsil; penyakit buah pinggang atau hati; kanser kepala dan leher; serta masalah kesihatan lain.

Bernafas Dengan Lega Di Putra Medical Centre

Walau bagaimanapun, membuat kesimpulan sendiri adalah tidak perlu dan amat tidak digalakkan. Serahkan pemeriksaan serta diagnosis kepada profesional kesihatan yang berkemahiran untuk membantu, membimbing, dan menawarkan pilihan rawatan yang berkesan. Putra Medical Centre mempunyai pasukan pakar penjagaan pergigian yang berpengalaman dan berpengetahuan untuk membimbing anda dalam menangani masalah halitosis. Sekiranya diagnosis akhir memerlukan penilaian lebih mendalam, doktor pergigian kami boleh mengatur konsultasi lanjut dengan melibatkan pemerhatian daripada pakar lain.

Untuk maklumat lanjut, layari media sosial rasmi kami:

Untuk sebarang bantuan atau nasihat perubatan, sila hubungi Putra Medical Centre:

Hubungi: +604-734 2888 | +6011-1052 3600 | +6011-1052 3688

E-mel: pmc@putramedicentre.com.my

Laman Web: https://pmck.com.my

Loading