Putra Medical Centre (PMC) berpeluang menghadiri Wacana Sejawat Doktor 2026 anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Kedah yang telah berlangsung pada 9 Julai 2026 di Star City Hotel, Alor Setar. Program ini telah dirasmikan oleh YB Mejar (B) Mansor bin Zakaria, EXCO Kesihatan Negeri Kedah.
Program ini menjadi platform bermakna yang menghimpunkan para doktor primer bagi meraikan komitmen dan dedikasi mereka dalam memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan komuniti di Kedah, di samping membuka ruang perkongsian ilmu, pertukaran pandangan serta pengukuhan jaringan profesional.
Menerusi penyertaan ini, PMC berpeluang memperkenalkan perkhidmatan dan kemudahan hospital, di samping berkongsi perkembangan mengenai Putra Medical Centre Kulim yang bakal beroperasi. Sesi ini turut menjadi peluang untuk mempererat hubungan kerjasama bersama doktor primer dalam menyokong kesinambungan penjagaan pesakit yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada MMA Cawangan Kedah atas penganjuran program yang penuh bermakna ini. Semoga hubungan strategik antara hospital, doktor primer dan komuniti perubatan terus diperkasakan demi meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di Kedah.
