Batuk merupakan refleks semula jadi saluran pernafasan untuk membantu mengeluarkan mukus, bendasing, bahan perengsa dan kuman. Walau bagaimanapun, batuk yang berpanjangan boleh mengganggu kehidupan seharian dan lazimnya berpunca daripada sesuatu gangguan atau keadaan perubatan yang perlu dikenal pasti bagi membolehkan rawatan yang sesuai diberikan.
Seseorang dianggap mengalami batuk berpanjangan atau batuk kronik sekiranya batuk berterusan selama lebih daripada 3 hingga 4 minggu. Antara punca yang berkemungkinan termasuk jangkitan (tuberkulosis pulmonari atau batuk kering pada paru-paru perlu dipertimbangkan dalam kumpulan populasi tertentu), hipersensitiviti, pencetus persekitaran, refluks asid, lelehan hingus ke belakang tekak (post-nasal drip), kegagalan jantung, penyakit autoimun atau keadaan yang lebih serius seperti ketumbuhan pada saluran pernafasan.
Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan daripada Pakar Perubatan Dalaman (Internal Medicine, IM) bagi menjalani penilaian yang sewajarnya dan mengenal pasti punca batuk. Pakar Perubatan Dalaman akan menjalankan pengambilan sejarah perubatan secara terperinci untuk mengenal pasti sifat dan ciri-ciri batuk serta kemungkinan pencetus dari dalam dan luar tubuh pesakit. Doktor juga mungkin bertanyakan tentang persekitaran rumah dan tempat kerja pesakit serta tabiat peribadi seperti merokok atau penggunaan rokok elektronik (vape). Sejarah penyakit terdahulu dan sejarah penyakit dalam keluarga juga penting kerana sesetengah keadaan seperti asma bronkial boleh berlaku dalam kalangan ahli keluarga atau bermula pada usia yang lebih muda dengan episod berulang. Pemeriksaan fizikal yang menyeluruh dari kepala hingga ke kaki juga mungkin dilakukan bagi membantu mengenal pasti diagnosis yang tepat. Ujian ringkas seperti spirometri sebelum dan selepas nebulisasi juga boleh dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat asma bronkial atau keadaan hipersensitiviti saluran pernafasan.
Pemeriksaan sokongan seperti ujian darah, X-ray dada dan elektrokardiogram (ECG) sering diperlukan bagi membantu mengecilkan senarai kemungkinan diagnosis. Pemeriksaan lanjut seperti imbasan CT paru-paru mungkin diperlukan sekiranya punca masih tidak dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan awal. Dalam kes tertentu, pesakit mungkin dirujuk kepada jabatan atau unit lain untuk penilaian yang lebih lanjut, seperti rujukan kepada Pakar Perubatan Respiratori untuk menjalani bronkoskopi bagi memeriksa saluran pernafasan dari dalam, rujukan kepada Pakar Gastroenterologi untuk pemeriksaan endoskopi perut dan esofagus, rujukan kepada Pakar Kardiologi untuk menjalani ekokardiogram (ECHO) bagi menilai fungsi jantung serta rujukan kepada Pakar Otorinolaringologi (ENT) untuk menjalani nasolaringoskopi bagi menilai bahagian hidung dan tekak atas.
Rawatan bagi batuk berpanjangan bergantung kepada punca yang mendasarinya. Sesetengah keadaan boleh pulih dalam tempoh yang singkat, seperti bronkitis akut atau pneumonia, manakala keadaan tertentu mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk dikawal dengan rawatan yang berkesan, seperti asma bronkial atau penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD). Keadaan yang lebih serius seperti ketumbuhan paru-paru mungkin memerlukan rawatan lanjut daripada Pakar Bedah Kardiotorasik dan/atau Pakar Onkologi. Kunci kepada rawatan yang berkesan adalah pengesanan dan diagnosis awal. Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan daripada Pakar Perubatan Dalaman lebih awal sekiranya gejala tidak pulih selepas mendapatkan rawatan di klinik penjagaan primer atau selepas mengambil ubat yang dibeli tanpa preskripsi, atau sekiranya gejala terus berulang walaupun telah mengambil ubat.
![]()
