Ketika umat Islam membuat persiapan menyambut bulan yang mulia ini, penting untuk diingatkan bahawa persediaan berpuasa bukan sekadar melibatkan perubahan rutin pemakanan dan tidur. Kita juga perlu memastikan tubuh badan berada dalam keadaan sihat dan mampu menghadapi tempoh berpuasa yang panjang.
Berpuasa berpotensi memberikan beberapa manfaat kesihatan, termasuk membantu mengawal berat badan, meningkatkan kawalan tekanan darah dan paras glukosa dalam darah serta memperbaiki tahap kolesterol. Walau bagaimanapun, puasa mungkin tidak sesuai untuk semua orang, terutamanya individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
Siapakah yang Perlu Mengambil Langkah Berjaga-jaga Sebelum Berpuasa?
Individu yang menghidap Diabetes Mellitus yang tidak terkawal, penyakit buah pinggang tahap kronik, penyakit jantung dan masalah kesihatan kronik yang lain perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa. Warga emas, khususnya mereka yang uzur, wanita hamil serta individu yang menghidap penyakit serius atau penyakit tahap akhir juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.
Tempoh berpuasa yang panjang boleh meningkatkan risiko hipoglisemia (paras glukosa dalam darah yang rendah), hiperglisemia (paras glukosa dalam darah yang tinggi), ketoasidosis diabetis dan dehidrasi. Komplikasi ini boleh menjadi serius sekiranya tidak diuruskan dengan baik.
Jalani Pemeriksaan Kesihatan Sebelum Ramadan
Anda disarankan untuk mendapatkan konsultasi daripada Pakar Perubatan Dalaman (Internal Medicine, IM) lebih awal sebelum Ramadan bagi menilai tahap kesihatan keseluruhan dan menentukan sama ada anda sesuai untuk berpuasa. Doktor boleh menyemak sejarah perubatan, menilai kawalan paras glukosa dalam darah dan tekanan darah serta mengenal pasti sebarang risiko kesihatan yang berpotensi, khususnya jika anda mempunyai beberapa masalah kesihatan seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung atau penyakit buah pinggang.
Pemeriksaan awal juga membolehkan doktor menyemak ubat-ubatan yang diambil dan membuat pelarasan yang diperlukan bagi memastikan rawatan anda kekal berkesan sepanjang tempoh berpuasa. Sesetengah ubat mungkin memerlukan perubahan dari segi waktu atau dos pengambilan supaya bersesuaian antara waktu sahur dan berbuka. Sebagai contoh, ubat tertentu yang biasanya diambil pada waktu pagi boleh dialihkan ke waktu sahur, manakala ubat yang lain mungkin perlu diambil selepas berbuka. Walau bagaimanapun, sebarang pelarasan ubat mestilah dilakukan di bawah pemantauan doktor.
Ketahui Bila Anda Perlu Berbuka Puasa
Bagi individu yang menghidap diabetes, pemantauan paras glukosa dalam darah sepanjang Ramadan amat penting. Pesakit perlu berbuka puasa sekiranya paras glukosa dalam darah menurun di bawah 3.9 mmol/L, terutamanya jika bacaan turun di bawah 3.3 mmol/L, atau meningkat melebihi 16.7 mmol/L. Gejala seperti pening, kelemahan yang melampau, kekeliruan dan tanda-tanda dehidrasi juga tidak boleh diabaikan. Pemeriksaan paras glukosa dalam darah tidak membatalkan puasa, dan pesakit hendaklah mengikuti nasihat doktor tentang bila mereka perlu berbuka puasa.
Bagi pesakit yang telah dinilai dan disahkan sesuai untuk berpuasa, amalan puasa sunat atau puasa ganti sebelum Ramadan boleh membantu mereka memahami tindak balas tubuh terhadap jadual pengambilan ubat yang telah diselaraskan. Dalam tempoh ini, pesakit perlu memantau dan merekodkan bacaan paras glukosa dalam darah serta tekanan darah seperti yang disarankan oleh doktor. Bacaan tersebut kemudiannya boleh disemak bagi menentukan sama ada pelarasan lanjut diperlukan sebelum Ramadan bermula.
Utamakan Kesihatan Anda pada Ramadan Ini
Ramadan merupakan waktu yang bermakna untuk meningkatkan kerohanian dan melakukan refleksi diri, namun menjaga kesihatan juga sama penting. Dengan persediaan awal, pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya dan pelarasan ubat yang sesuai, individu yang mempunyai masalah kesihatan kronik dapat menguruskan kesihatan dengan lebih baik serta mengurangkan risiko yang berkaitan dengan ibadah puasa.
Jangan tunggu sehingga Ramadan bermula untuk memeriksa tahap kesihatan anda. Dapatkan konsultasi doktor lebih awal, fahami keadaan kesihatan anda dan buat persediaan bagi menjalani ibadah puasa dengan lebih selamat.
Rujukan:
PRACTICAL GUIDE TO DIABETES MANAGEMENT IN RAMADAN. Ministry of Health Malaysia, Malaysian Endocrine & Metabolic Society.
![]()
